Bapa Dan Anak Maut Kemalangan


KENINGAU--Bapa dan anak perempuannya yang berusia empat tahun maut dalam kemalangan melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan pikap di KM 16, Jalan Apin-Apin Keningau di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 12.22 tengah malam itu mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Masino Gelong, 45, pemandu kenderaan Toyota Avanza dan anaknya, Claeryina Mecthildis Masino, 4.

Mangsa yang parah ialah isterinya Masino iaitu Chelrina Philip, 33, dan empat lagi anak mereka, Mattheo Charbel, 2, Mica Chelsino, 7, Charlene Myra, 9, dan Camellia Mae, 11.

Ketua Polis Keningau, Superintendan Yampil Garai berkata, kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Toyota Avanza dari arah Keningau menuju ke arah Apin Apin.

“Nissan Navara dari arah Apin Apin menuju ke Keningau, seorang kanak-kanak dan lelaki dewasa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Seramai tujuh mangsa dalam kenderaan MPV tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pemandu pikap turut cedera parah di bahagian kaki dan dada manakala penumpangnya seorang wanita turut cedera di bahagian dada dan dirujuk ke Hospital Daerah Keningau untuk rawatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ),” ujarnya.
Next Post Previous Post