108.2 ekar dibangun di Sungai Bedaun untuk keluarga terlibat Projek Pembangunan Darul Hana

KUCHING-- Seluas 108.2 ekar tanah dibangunkan secara berperingkat di Sungai Bedaun bagi menempatkan keluarga-keluarga tambahan yang terlibat dalam Projek Pembangunan Darul Hana.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tanah itu dibangunkan oleh kerajaan Sarawak melalui Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA).

"Penempatan Sungai Bedaun merupakan sebuah penempatan yang teratur dan moden di mana kerajaan Sarawak telah menyediakan infrastruktur-infrastruktur asas.

"Antara infrastruktur tersebut seperti sistem jalan raya dan perparitan termasuk kerja-kerja menembok tanah bagi memastikan kawasan ini bebas daripada masalah banjir," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi semasa Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Penempatan Sungai Bedaun, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, jelasnya projek itu melibatkan pembinaan sebanyak 426 unit rumah dan dibahagikan kepada dua pakej. 

Pakej pertama kata Abang Johari, ia melibatkan kawasan seluas 52.2 ekar bagi pembinaan 209 unit rumah dan telah siap. 

“Manakala, fasa kedua akan melibatkan kawasan seluas 56 ekar bagi pembinaan 217 unit rumah yang dijangka bermula pada Jun 2024 dan siap pada suku ketiga tahun 2026,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau memberitahu terdapat 126 keluarga tambahan dari Kampung Semarang, Kampung Panglima Seman Lama dan kawasan Lot Tambahan di perkampungan Seberang Hilir yang memenuhi kriteria dan syarat permohonan telah ditawarkan untuk membeli rumah di Penempatan Sungai Bedaun bagi pakej pertama ini.

"LCDA turut memperkenalkan sistem penyimpanan air hujan  yang juga boleh berfungsi sebagai komponen ‘Sarawak Urban Stormwater Management’ (SUStoM) di projek penempatan Sungai Bedaun, Kuching.

“Sistem ini bukan sahaja menggalakkan kelestarian alam dengan kitar semula air hujan tetapi juga untuk penggunaan harian seperti menyiram tanaman dan mencuci kenderaan yang menyumbang kepada pengurangan kos bil air bagi penduduk,” ujarnya.
Next Post Previous Post