Wanita terpelanting ke dalam parit, motosikal ditunggang bertembung kereta

SARIKEI -- Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis Perodua Kenari di Kilometer 4 Jalan Repok awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa yang dikenali sebagai Lucy Nangkai berusia 30 tahun ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam parit sebelum disahkan meninggal dunia oleh KKM yang menjalankan pemeriksaan ke atas beliau.

"Sepasukan anggota BBP Sarikei bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan berhubung insiden pada jam 8.33 pagi bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat mangsa," ujarnya.

Tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah kereta jenis Perodua Kenari dalam keadaan terbalik dan sebuah motosikal.

Pemandu kereta bagaimanapun katanya yang merupakan seorang lelaki telah keluar dengan sendiri sebelum pihak bomba tiba.

Penunggang motosikal yang ditemui dalam keadaan terbaring dalam parit dalam keadaan tidak sedarkan diri telah disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pasukan bomba melakukan ‘size up’ di sekitar kawasan kemalangan seterusnya mengangkat mangsa dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Gambar PGO Sarawak
Next Post Previous Post