Tun Taib kini dirawat di hospital swasta di KL

KUALA LUMPUR-- Bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kini berada di ibu negara dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di sini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain yang mengesahkan perkara itu berkata, orang ramai dinasihati tidak menyebarkan maklumat yang tidak benar sehingga boleh menimbulkan pelbagai spekulasi.

Beliau dipetik berkata menerusi laporan Bernama yang disiarkan The Star menjelaskan laporan polis yang tersebar dan mendakwa Tun Taib telah dibawa keluar dari sebuah hospital adalah laporan yang sahih.

Manakala siasatan katanya dijalankan di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan bukan atas insiden dilarikan tetapi menjurus kepada perbuatan yang mungkin boleh membahayakan kesihatan beliau.

“Kertas siasatan telah dihantar ke Pejabat Pendakwaan Negeri Sarawak semalam dan masih menunggu arahan lanjut.

“Tiada istilah dilarikan kerana yang membawa keluar dan balik ke rumah adalah isteri bekas TYT (Tuan Yang Terutama) berkenaan,” katanya malam tadi.

Pada Isnin lepas, Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata mengesahkan telah menerima laporan berhubung isu tular iaitu kes membawa keluar Tun Taib dari sebuah hospital swasta di Kuching, Sarawak.

Gambar Kredit UKAS
Next Post Previous Post