Tak sedar polis datang, lima lelaki sedang sabung ayam dicekup

KUCHING-- Lima lelaki yang sedang asyik menyabung ayam dicekup polis di kawasan tanah lapang di Jalan Stutong di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, suspek berusia antara 26 tahun sehingga 60 tahun itu ditangkap semasa Op Limau (Sabung Ayam) yang dijalankan sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.

Bertindak atas maklumat yang diterima, sepasukan anggota polis telah membuat serbuan di kawasan tanah lapang di Jalan Stutong yang dipercayai menjalankan kegiatan aktiviti perjudian pertaruhan sabung ayam.

"Dalam serbuan ini seramai lima lelaki telah ditangkap ketika sedang menyabung ayam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahsmon, polis turut merampas 10 ekor ayam, alat penimbang dan wang tunai berjumlah RM310.

Tegasnya, kes telah dibuka kertas siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 73(1)(g) Ordinan Veterinar Kesihatan Awam 1999 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali. 

Jelasnya, suspek akan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah hari ini di Mahkamah Majistret Kuching.

Sehubungan itu beliau amat mengalu-alukan maklumat dari orang ramai sekiranya mengesyaki mana-mana individu untuk menghubungi hotline Polis Daerah Kuching di nombor 082-244444 atau melalui aplikasi vsp 2.0.
Next Post Previous Post