Inspektor polis parah dilanggar motosikal lari sekatan

KUCHING-- Seorang Pegawai Penyiasat Trafik Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching cedera akibat dilanggar penunggang motosikal yang melarikan diri dalam sekatan di Jalan Gambier pada malam Rabu.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam 10.30 malam semasa pegawai terbabit menjalankan tugas, telah dilanggar sebuah motosikal berwarna biru.

"Pegawai Kanan BSPTD Kuching telah dilanggar oleh motosikal dan mengalami kecederaan parah iaitu patah tulang paha kiri semasa sedang membuat pemeriksaan kenderaan dalam satu Operasi Motosikal yang dibuat pada Rabu jam 10.30 malam di Jalan Gambir. 

"Pegawai ini telah dimasukkan ke wad Hospital Umum Sarawak dan masih dalam pemantauan doktor," katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, tegasnya, polis memohon saksi kejadian tampil bagi membantu mengesan penunggang terbabit.

Dalam kejadian itu, Inspektor Charlie Aloysius patah tulang paha kiri akibat dilanggar penunggang terbabit.

Mangsa kini dirawat di Hospital Umum Sarawak.

Susulan itu, Ahsmon bersama rombongan IPD Kuching mengadakan lawatan kebajikan.
 
Dalam lawatan tersebut Ahsmon telah memberi kata-kata semangat dan sokongan moral kepada Charlie dengan harapan semoga beliau cepat sembuh.

Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa. 

Lawatan kebajikan ini adalah satu tanda keprihatinan KPD Kuching serta warga Polis IPD Kuching.

Turut hadir lawatan kebajikan ini adalah Timbalan Ketua Polus Daerah Kuching Superintenden Merbin Lisa, KBSPTD Kuching DSP Heffyear William Awet, ASP Siasatan/Perundangan BSPT IPD Kuching ASP Frankin Andy Kemping dan Inspektor Angelina Henry Winner ( Wakil PERKEP).
Next Post Previous Post