Pakai gelang besar 999 sekali lagi

KUCHING-- Seorang lelaki ditangkap semasa cubaannya melarikan diri gagal selepas meragut seorang mangsa di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, suspek berusia 30 tahun ditangkap pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak yang sedang bertugas.

"Pasukan JSJ IPK Sarawak yang sedang bertugas, telah berjaya menangkap suspek yang baru sahaja meragut barang mangsa dan terus melarikan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahsmon, dalam tangkapan itu, polis turut merampas sebuah motosikal dan serangkai kunci motosikal serta barangan peribadi milik mangsa yang disamun (ragut).

"Suspek ketika kejadian di kawasan tempat letak kereta di hadapan Public Bank, Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce.

"Hasil pemeriksaan rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau pelbagai kesalahan jenayah dan juga kesalahan penyalahgunaan dadah," dedahnya.

Tegasnya, kes telah dibuka kertas siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

"Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 10 tahun dan bolehlah juga dikenakan denda," ujarnya.

Menurutnya lagi suspek akan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah pada 9 Februari di Mahkamah Majistret Kuching.

"Justeru, polis amat mengalu-alukan maklumat dari orang ramai sekiranya mengesyaki mana-mana individu untuk menghubungi hotline polis daerah Kuching di nombor 082-244444 atau melalui aplikasi vsp 2.0," katanya.
Next Post Previous Post