Tiga anggota maut: Tentera Darat Malaysia tubuh Lembaga Siasatan Dalaman

ALOR SETAR— Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menubuhkan Lembaga Siasatan Dalaman bagi menyiasat kemalangan maut membabitkan tiga anggotanya di Kilometer 75, Lebuh Raya Utara Selatan di sini, pagi tadi.

TDM mengesahkan bahawa tiga anggota yang maut dalam kemalangan pada 10.45 pagi tadi ialah Sarjan Rozali Abdul Rani, Koperal Mohd Asri Idris dan Lans Koperal Mohd Hafiz Haris.

“Ketiga-tiga anggota berkenaan dari Pasukan 3 Rejimen Sempadan (RS) yang berpengkalan di Kem Pengkalan Hulu, Perak sedang dalam konvoi melibatkan tiga buah kenderaan tiga tan menuju ke Markas 30 Briged, Kem Bukit Cowder, Kangar, Perlis untuk mengambil anggota yang menjalani Eksesais Satria Gagah.

“Namun, salah sebuah kenderaan konvoi berkenaan telah mengalami kerosakan yang menyebabkan mereka terpaksa berhenti di sebelah haluan kiri lebuh raya sebelum dirempuh oleh sebuah treler di lokasi kemalangan,” katanya dalam kemalangan.

Sehubungan itu TDM menggesa agar gambar-gambar mereka yang terlibat tidak disebarkan bagi menghormati mangsa dan pihak keluarga.

“Kami juga meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang kenyataan atau spekulasi berhubung kemalangan itu,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan seluruh warga TDM menzahirkan rasa dukacita serta mengucapkan takziah kepada waris dan keluarga anggota atas kehilangan mengejut itu.

"Sesungguhnya ini merupakan satu kehilangan yang besar buat TDM serta berdoa agar waris dan keluarga anggota dikurniakan kesabaran dan ketabahan untuk menerima ketentuan Allah itu," kata kenyataan itu.
Next Post Previous Post