Kanak-kanak lelaki hampir lemas dibawa arus deras laut diselamatkan

MIRI -- Seorang budak lelaki hampir lemas selepas dibawa arus deras laut semasa mandi-manda di kawasan pantai Tanjung Lobang berjaya diselamatkan dalam insiden yang berlaku petang tadi.

Semasa kejadian, mangsa yang merupakan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun itu dihanyutkan arus deras laut sebelum diselamatkan seorang pengunjung yang merupakan lelaki berusia 19 tahun yang turut berada di lokasi.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, sepasukan anggota dari BBP Miri Sentral bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada jam 5.11 petang.

"Tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati mangsa telah berjaya diselamatkan oleh seorang lelaki yang merupakan pengunjung di pantai tersebut yang terlihat kanak-kanak itu melambai tangan dan meminta tolong," ujarnya.

Mangsa dan lelaki yang menyelamatkan mangsa kemudiannya sama-sama diberikan rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum dibawa ke Hospital Miri.

Mujurlah insiden yang berlaku tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

Gambar PGO Sarawak
Next Post Previous Post