Kilang pemprosesan grafit akan diwujudkan di Samalaju, pacu industri hidrogen di Sarawak: Abang Johari

KUCHING -- Sebuah kilang pemprosesan grafit akan ditubuhkan di Sarawak iaitu di Taman Perindustrian Samalaju dalam memacu industri hidrogen yang kian berkembang di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, adalah sangat wajar untuk mempunyai kilang pemprosesan grafit yang boleh menjadi rantaian bekalan dalam industri pengangkutan mengeluarkan kereta menggunakan hasil grafit di Sarawak.

“Kita di Sarawak mempunyai pengangkutan awam yang dikuasakan dengan tenaga hidrogen dan ini memerlukan grafit dalam teknologi bahan api ini.

“Justeru, adalah sangat wajar untuk kita mempunyai kilang pemprosesan bagi menghasilkan grafit yang boleh menjadi rantaian bekalan kepada mereka dalam industri pengangkutan mengeluarkan kereta menggunakan hasil grafit di Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kumpulan Syarikat SEDC Energy dan Kumpulan Syarikat Gallois untuk Pembangunan Kilang Pemprosesan Grafit di Taman Perindustrian Samalaju, Bintulu, hari ini.

Untuk rekod, Kumpulan Syarikat Gallois, yang diwakili oleh Gallois New Energy Materials (M), Malaysia (GNEM), sebuah entiti yang baru ditubuhkan, membawa banyak kepakaran.

Sehubungan itu, Abang Johari memberitahu, Sarawak amat mengalu-alukan pelaburan datang ke negeri ini termasuk dalam pemprosesan grafit bagi membantu sektor hidrogen di sini.

Katanya, Sarawak amat serius dalam pengeluaran hidrogen dan negeri ini bertuah kerana mempunyai sumber terutamanya kuasa boleh diperbaharui untuk menghasilkan hidrogen melalui elektrolisis.

Dalam pada itu, beliau berkata, GNEM menyasarkan untuk menubuhkan Kilang Pemprosesan Grafit di Taman Perindustrian Samalaju, sekali gus meletakkan Sarawak sebagai pemain utama dalam industri grafit agar selari dengan usaha menumpukan kepada pemprosesan, pembuatan, pemborongan dan peruncitan produk berkaitan grafit. 

Jelasnya, Gallois terkenal dengan operasi perlombongan dan penapisan di Madagascar, merupakan sebagai kuasa besar dalam pengeluaran grafit.

Tambahnya, keistimewaan semula jadi dan grafit berkualiti tinggi Gallois dicirikan oleh struktur kristal yang sempurna, menjadikan syarikat itu rakan kongsi yang ideal untuk sektor hidrogen yang semakin berkembang di Sarawak.

Dengan perkongsian melangkaui pemeteraian MoU itu, katanya, ia menandakan penjalinan kerjasama yang melangkaui kertas kerja.

Pada masa sama beliau memberitahu kerjasama itu sejajar dengan aspirasi ekonomi Sarawak, mencerminkan komitmen Sarawak terhadap inovasi dan kemajuan.

Fokus utama MoU itu ialah kemajuan komponen teknologi kimia untuk pengeluaran hidrogen dan mempunyai matlamat sama untuk membuat sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi Sarawak, menekankan hidrogen sebagai sektor strategik yang penting untuk masa depan Sarawak yang mampan.

Tegasnya, SEDC Energy, di barisan hadapan usaha niaga tenaga mampan, memiliki portfolio yang pelbagai merangkumi minyak alga mentah, bahan api penerbangan mapan, biojisim, bekalan hidrogen, perniagaan hiliran dan penyelesaian mobiliti hijau.

“Kerjasama ini meningkatkan lagi keupayaan Sarawak, mengukuhkan komitmen kami terhadap landskap tenaga yang lebih bersih dan lebih hijau,” ujarnya.

Gambar Kredit UKAS
Next Post Previous Post