Isu projek jalan raya KKDW tergendala selesai

KUCHING—Isu beberapa projek jalan raya yang tergendala di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selesai, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata, kerajaan menerusi Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) dan KKDW dalam perbincangan pada Khamis sudah mencapai kata sepakat dalam menyelesaikan isu tersebut.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, perbincangan turut menyelesaikan pelbagai isu yang sebelum ini menghalang kelancaran projek itu.

“Daripada perbincangan ini, kita telah menyelesaikan masalah beberapa projek jalan raya yang tergendala di seluruh negeri.

“Pihak KKDW juga telah menerima cadangan daripada pihak kami dengan baik,” ujarnya, memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), semalam.

Perbincangan tersebut diketuai Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak manakala KKDW diketuai Ketua Setiausahanya Dato Sri Ramlan Dato Harun.

Tambah Datuk Amar Douglas, MIPD dan Jabatan Kerja Raya (JKR) komited dalam membantu pelaksanaan projek-projek yang tergendala tersebut.

Hadir sama Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Ir. Aidel Lariwoo, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala, Setiausaha Tetap MIPD Datu Chiew Chee Yau dan Pengarah JKR Sarawak Datuk Ir. Ts. Richard Tajan.
Next Post Previous Post