Sasar 70 penggunaan tenaga boleh baharu menjelang 2050- Fadillah

KUALA LUMPUR-- Malaysia menyasarkan untuk menaikkan penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) kepada 70 peratus menjelang 2050.

Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, setakat ini penggunaan TBB di negara adalah 25 peratus.

"Sasaran adalah untuk menaikkan penggunaan TBB kepada 70 peratus menjelang 2050 berbanding 25 peratus ketika ini.

"Oleh itu, kerajaan amat komited ke arah meningkatkan penggunaan TBB untuk mencapai sasaran pelepasan sifar gas rumah hijau," katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini.

Jelas Fadillah bidang TBB penting untuk peralihan tenaga dan ekonomi Malaysia.

Tambahnya, dalam konteks peralihan tenaga-tenaga yang dijana melalui solar, biomas, geoterma, hidro, angin dan ombak adalah sumber tenaga untuk masa hadapan. 

"Hari ini menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Pembiayaan antara Bank Islam Malaysia Berhad dan Gading Kencana Sdn Bhd bagi membangunkan sebuah ladang solar berkapasiti besar di negara ini.

"Tahniah saya ucapkan kepada kedua-dua entiti ini yang komited untuk meneroka bidang TBB melalui mekanisme Skim Susunan Penghantaran Baharu yang dipertingkatkan (NEDA -New Enhanced Dispatch Arrangement)," ujarnya.

Beliau memberitahu, Bank Islam Malaysia Berhad adalah institusi kewangan pertama di negara ini yang tampil membiayai projek membabitkan penjanaan TBB secara khusus di bawah NEDA. 

"Majlis yang berlangsung hari ini adalah contoh dan bukti bagaimana gandingan dan penyertaan pihak swasta, bersama-sama membantu kerajaan ke arah mencapai
sasaran tenaga yang mampan.

"Ini bakal memberi manfaat bukan sahaja kepada entiti perniagaan yang terlibat tetapi juga kepada negara dan rakyat keseluruhannya, Insya-Allah," ujarnya.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Malaysia Berhad Datuk Mohd Muazzam Mohamed, Pengarah Urusan Kumpulan Gading Kencana Sdn. Bhd Datuk (Dr.) Ir. Muhamad Guntor Mansor Tobeng dan Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) Datuk Mad Zaidi Mohd Karli.
Next Post Previous Post