Flat Taman Ceria jadi tempat ‘ternak’ nyamuk aedes

Longkang yang dipenuhi sampah-sarap serta menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes yang membawa wabak denggi di Flat Taman Ceria, Permyjaya.

MIRI— Jabatan Kesihatan Bahagian Miri dan penguat kuasa Bahagian Kesihatan Majlis Bandaraya Miri (MBM) menyerbu kawasan perumahan flat dalam Operasi Anti Denggi di Taman Ceria, Permyjaya di sini berikutan peningkatan kes denggi sekitar kawasan terbabit.

Lee memasukkan ubat jentik-jentik ke dalam tong simpanan air penduduk di Flat Taman Ceria.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, sebanyak 50 kes demam denggi direkodkan di Bahagian Miri dengan 13 kes dilaporkan dari kawasan Taman Ceria.

“Lokaliti ini merupakan antara kawasan lokasi panas denggi di Miri setakat ini.

“Dalam operasi ini, sebanyak enam kompaun dikeluarkan kepada pemilik rumah di sini kerana membiarkan kawasan rumah menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes,” katanya dalam kenyataan selepas melancarkan Operasi Bersepadu Mencegah Wabak Denggi Daerah Miri (Op Cegah Denggi), pada Sabtu.

Operasi tersebut turut disertai Pejabat Daerah Miri, polis, bomba, RELA dan ketua masyarakat.

Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak turut meminta MBM melakukan kerja-kerja pembersihan longkang di kawasan perumahan tersebut untuk mengelakkan menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes.

Sementara itu tinjauan di kawasan flat mendapati mendapati longkang bertakung dengan air selain sampah-sarap seperti botol air mineral dan plastik.

Tindakan sesetengah penduduk yang membuang sampah dalam longkang dan tepi jalan di kawasan perumahan turut menjadi punca peningkatan pembiakan nyamuk aedes di sini.
Next Post Previous Post