Dadah: Tiga ditangkap di Samarahan

KOTA SAMARAHAN -- Tiga lelaki dicekup kerana disyaki terlibat dadah di lokasi berasingan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Brodie Brangka berkata, ketiga-tiga tangkapan itu dibuat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jelasnya, kes pertama melibatkan tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun, di kawasan taman perumahan di Kota Samarahan.

"Suspek ditangkap sekitar jam 12.30 tengah hari oleh Unit Kereta Peronda (MPV) IPD Kota Samarahan yang disyaki dalam keadaan mencurigakan.

"Turut dirampas daripada suspek adalah dadah jenis syabu dengan berat kasar 22.66 gram dan satu beg sandang milik suspek sendiri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, suspek juga mempunyai satu kes jenayah lampau berkaitan dadah.

Kes kedua pula, jelasnya, tangkapan dibuat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kota Samarahan sekitar jam 10.50 pagi di kawasan perkampungan di Asajaya melibatkan dua lelaki tempatan berusia 34 dan 36 tahun.

Kata beliau, salah seorang suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

"Hasil ujian air kencing juga mendapati kedua-dua positif dadah," ujarnya.

Berikutan itu, tegasnya, kesemua suspek kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Next Post Previous Post