Sarawak pengekport hidrogen 2027, Abang Johari

Abang Johari ketika ditemui media selepas Majlis Persidangan Peralihan Tenaga Borneo di sini, hari ini.

KUCHING— Kerajaan Sarawak membawa masuk pakar untuk meneliti dan menilai pertumbuhan sumber tenaga boleh diperbaharui di negeri ini dengan mengambil kira perkembangan ekonomi negara.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak berada di landasan yang betul dan kini menjalinkan kerjasama dengan pemain industri tenaga seperti Gentari dan negara Jepun dan Korea.

Menurutnya, Sarawak juga akan menjadi pengeksport tenaga boleh diperbaharui khususnya hidrogen ke negara ini sekali gus meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak.

“Saya sudah kongsikan sumber yang ada di Sarawak, kita sebenarnya ada sumber, kalau kita gabungkan sumber ini dengan teknologi, maka potensi Sarawak sangat luas terutama dari sudut  Tenaga Peralihan Malaysia (NETR).

“Kemungkinan kita boleh menjadi penentu dalam kita menukarkan tenaga lama kepada tenaga baharu,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Persidangan Peralihan Tenaga Borneo di sini pada Isnin, lapor Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Mengulas lanjut Premier Sarawak memberitahu, fasiliti untuk Sarawak menjadi hub pengeksport hidrogen menjelang tahun 2027.

Pada masa ini jelasnya, Sarawak telah mengesahkan pengambil dari dua negara iaitu Jepun dan juga Korea. 

“Kalau kita tingkatkan pengeluaran semestinya negara lain pun kena akur dengan tenaga hijau. 

“Sarawak mungkin suatu hari nanti menjadi pembekal tenaga hijau untuk seluruh rantau dan ini bergantung kepada teknologi yang kita gunakan dalam pengeluaran hidrogen,” tambah beliau.

Premier Sarawak semasa merasmikan Persidangan Peralihan Tenaga Borneo (BETC) 2024.

Terdahulu dalam ucapan, beliau berkata pernah berdepan dengan masalah semasa mahu memperkenalkan hidrogen di mana ada yang mempersoalkan tentang penghasilan tenaga hidrogen. 

“Kerana secara saintifik mungkin mereka tidak tahu bahawa hidrogen lebih ringan. Gas ia naik. Melainkan kita mencipta bom, maka ia akan menjadi bom. Ia bergantung pada objektif anda. Ini adalah untuk menghasilkan tenaga yang boleh diperbaharui,”katanya. 

Tambahnya, prospek dalam platform tenaga boleh diperbaharui di negeri ini diyakini positif serta membuahkan hasil kerana memiliki potensi yang luas serta mampan.

Justeru, Datuk Patinggi Abang Zohari berharap agar pihak bank dapat memberi sokongan dalam menjayakan agenda ini.

“Persoalannya sekarang ialah pihak bank, walaupun sudah banyak tekanan untuk kita berubah ke arah tenaga hijau untuk ‘menyejukkan’ bumi, tetapi belum ada jaminan bahawa ini akan berfungsi.

“Tetapi pada saya, ia akan berkesan. Jika era pertama menggunakan enjin wap kepada arang batu berjaya dan daripada arang batu kepada bahan api fosil berfungsi, jangan beritahu saya bahawa bahan api fosil beralih ke tenaga diperbaharui tidak boleh berfungsi,” katanya.

Dalam majlis itu, Premier Sarawak turut menyaksikan pertukaran dokumen di antara Sarawak H2 Hub dan Gentari serta Rembus H2 Plant dan Sarawak Metro. 

Gambar kredit UKAS
Next Post Previous Post