Sarawak kemuka cadangan semakan semula persempadanan DUN, Abang Jo

Abang Johari bercakap kepada media di Miri hari ini. Gambar kredit UKAS

MIRI—Kerajaan Sarawak akan menghantar cadangan kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) bagi menyemak semula persempadan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pihak SPR telah memaklumkan kepada Sarawak kemungkinan untuk melakukan semakan terhadap sempadan DUN di negeri ini.

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagaimanapun berkata, jumlah DUN yang terlibat dalam semakan tersebut belum ditetapkan.

"Kita akan ‘engage’ dengan pihak SPR dulu, tengok apa cadangan mereka.

"Kerana prosesnya adalah ‘engagement’ dulu, ia membabitkan semua parti, bukan GPS sahaja.

"Selepas pihak SPR akan kaji cadangan dan 'counter' cadangan daripada kita," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan Tahun Baru Cina di kediaman Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Sri Lee Kim Shin pada Isnin, lapor Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Hadir sama isteri Premier Puan Sri Datuk Amar Juma'ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri Utiliti Dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Presiden Dewan Perdagangan dan Perindustrian Sarawak (SCCI) Datuk Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg serta dif-dif kenamaan yang lain.

Untuk rekod, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam satu kenyataan pada 1 Januari 2024 berkata SPR sedang mempertimbang dan meneliti kesesuaian untuk melaksanakan urusan kajian semula persempadanan di Sarawak.

Katanya, urusan kajian semula persempadanan terhadap bahagian pilihan raya sedia ada, hanya boleh dilaksanakan selepas tamat tempoh lapan tahun dari tarikh siapnya kajian terdahulu atau apabila terdapat pindaan ke atas komposisi bilangan keanggotaan Ahli Dewan Rakyat atau DUN.

Kali terakhir Sarawak melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya adalah pada tahun 2016, membabitkan pertambahan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Next Post Previous Post