Pandelela tak putus asa, janji bangkit semula

KUALA LUMPUR— Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong menyifatkan kegagalan meraih tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 buat kali kelima sebagai pengajaran untuk melangkah lebih baik di masa akan datang.

Menurut Pandelela, dia mengakui kegagalannya menutup tirai di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar minggu lalu walaupun sudah berusaha sebaik mungkin.

“Saya mohon maaf kerana gagal memenuhi janji saya untuk meraih kemenangan buat negara kali ini. Apa pun, saya belajar dari pengalaman ini.

“Namun saya tidak putus asa dan bangkit semula dalam kejohanan akang datang. Perjuangan saya belum selesai dan saya terus percaya dengan perancangan Tuhan.

“Saya dengan ikhlas mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua yang menyokong dalam perjalanan saya di kelayakan Olimpik,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Atlet yang berada dalam senarai atlet dalam program Road To Gold (RTG), terlepas peluang ke Paris 2024 apabila terkandas di pusingan kelayakan di Doha dalam acara kegemarannya 10 meter (m) platform individu pada Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar, pada Ahad lalu.

Beliau menamatkan saingan di tempat ke-29 daripada 46 peserta selain turut gagal melayakkan diri dalam acara 10m platform seirama bersama gandingannya Nur Dhabitah Sabri apabila mengakhiri acara final di kedudukan ke-12 daripada 16 pasangan.

Untuk rekod, Pandelela merupakan pemenang gangsa 10m platform pada Sukan Olimpik London 2012 dan perak acara 10 platform seirama wanita dengan Cheong Jun Hoong pada Sukan Rio 2016.

Beliau yang bakal menginjak usia 31 tahun bulan depan ini mengharapkan untuk beraksi di Sukan Olimpik kelima berturut-turutnya, sejak penampilan sulungnya pada edisi Beijing 2008.
Next Post Previous Post