Projek penambakan P.Pinang Selatan dibantah, jejas pendapatan nelayan

Difahamkan kira-kira 4ha Pulau Pinang Selatan ditebus guna setakat ini. (Gambar Perbadanan Infrastruktur Pulau Pinang)

GEORGE TOWN-- Projek penambakan bernilai RM8.5 bilion di Pulau Pinang mendapat bantahan daripada sembilan nelayan dan dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana menjejaskan pendapatan mereka.

Memetik laporan Free Malaysia Today, bantahan itu daripada kumpulan nelayan yang diketuai Zakaria Ismail dari Unit Nelayan Sungai Batu bersama Sahabat Alam Malaysia (SAM) serta Jaringan Ekologi dan Iklim (Jedi) yang bertindak memfailkan saman terhadap kerajaan Pulau Pinang.

Dalam saman itu, kumpulan nelayan dan dua NGO terbabit mahu projek Pulau Pinang Selatan (PSI) diisytiharkan haram serta kerajaan negeri membatalkan penambakan di kawasan terjejas, jika permohonan mereka berjaya.

Zakaria Ismail dari Unit Nelayan Sungai Batu bersama Presiden Jaringan Ekologi dan Iklim, Khoo Salma (kanan) serta S Mageswari dari Sahabat Alam Malaysia menyertai sidang media hari ini.

Difahamkan projek penambakan itu telah bermula September lalu, dengan kawasan seluas 920 hektar ditebus guna bagi membina Pulau Silikon yang mana kira-kira 4 hektar sudah ditambak setakat 

Tanah itu dijangka ditebus guna sepenuhnya menjelang 2032, dengan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dilaporkan berkata ia diunjurkan berkembang pada 160 hektar setahun. 

Sementara itu, Setiausaha Kehormat SAM, S Mageswari dalam sidang media hari ini berkata Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memberi kebenaran untuk meneruskan permohonan semakan kehakiman mereka.

“Kami juga cuba mendapatkan penangguhan terhadap kebenaran yang diberikan kepada PSI dan semua proses lain serta kerja penambakan, sementara menunggu pelupusan akhir permohonan semakan kehakiman dan kos.

“Impak projek itu sudah dilihat dan dirasai nelayan," katanya.

Dalam pada itu, Zakaria memberitahu para nelayan di pantai selatan, kawasan utama penangkapan udang di negeri ini, berdepan penurunan mendadak tangkapan, dengan hasil udang mereka merosot sebanyak 50 peratus.

Jelas beliau, pada suku akhir 2023, nelayan di kawasan itu hanya menangkap 93 kilogram (kg) udang berbanding purata 186kg udang bagi suku keempat 2021 serta 2022.

“Kami menderita akibat kemerosotan hasil tangkapan sejak penambakan ini bermula.”

Meenakshi Raman

Presiden SAM dan wakil undang-undang dalam kes ini, Meenakshi Raman berkata, pengecilan projek daripada tiga pulau kepada sebuah pulau, seperti diumumkan perdana menteri, tidak mencukupi.

Tegasnya, projek itu membawa kesan besar terhadap alam sekitar dan mempunyai banyak isu undang-undang yang perlu dibangkitkan di mahkamah.

Dalam pada itu, Khoo Salma Nasution dari Jedi berkata, penambakan tersebut menyebabkan kumpulan B40 terpinggir dan mempersoalkan sama ada Pulau Pinang “untuk semua rakyat atau hanya syarikat”.

Permohonan semakan kehakiman itu bagi mencabar kebenaran merancang yang diberikan kepada projek PSI pada 21 Ogos 2023. 

Mereka mahu membatalkan kebenaran merancang, menerbalikkan keputusan itu, memulihkan kawasan terjejas dan menuntut pampasan bagi kehilangan pendapatan.

Alasan semakan kehakiman itu termasuk kegagalan mematuhi undang-undang perancangan bandar, kesilapan dalam rujukan projek, tiada penilaian alam sekitar dan mengabaikan kesan buruk terhadap alam sekitar serta punca pendapatan nelayan.

Hakim Quay Chew Soon akan mendengar permohonan penangguhan mereka di Mahkamah Tinggi George Town pada Isnin.

Next Post Previous Post