Pemuda miliki 3 rekod jenayah ditangkap bersama 38.25 gram syabu

KUCHING-- Seorang pemuda yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan dadah ditangkap bersama 38.25 gram syabu di Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, suspek berusia 32 tahun itu ditangkap sekitar jam 3.15 petang oleh pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching.

"Dalam tangkapan ini polis merampas sebanyak 38.25 gram dadah disyaki syabu yang dianggarkan bernilai RM7,650," katanya dalam kenyataan.

Tambahnya suspek yang mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dengan kes dadah turut didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. 

"Suspek direman selama enam hari sehingga 20 Februari 2024," tegasnya.

Jelasnya, suspek disiasat di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan sebat tidak kurang daripada 10 sebatan. 

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan maklumat orang awam berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah.
Next Post Previous Post