IBS segerakan pembinaan rumah mampu milik untuk B40, M40, Abang Jo

Abang Johari (tiga, kiri) semasa merasmikan Kilang IBS milik LCDA pada Selasa.

KUCHING— Lebih ramai golongan B40 dan M40 khususnya di kawasan luar bandar Sarawak bakal memiliki rumah mampu milik melalui perlaksanaan Sistem Binaan Industri (IBS) atau rumah pasang siap.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, setakat ini kerajaan mempunyai sasaran untuk membina sekitar 1,500 unit rumah menggunakan sistem itu.

“Keutamaan kita adalah kawasan perumahan luar bandar bagi membolehkan golongan B40 dan M40 membeli rumah yang berkualiti dengan harga berpatutan.

“Saya yakin sistem IBS yang dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) CTR, kita dapat menyegerakan pembinaan projek rumah untuk rakyat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kilang IBS milik LCDA CTR Technology Sdn. Bhd. di sini pada Selasa.

Beliau berkata, sistem ini mempunyai manfaat kerana proses membina rumah seperti memasang Lego yang berketepatan tinggi, mesra alam, tahan selain waktu penyiapan lebih singkat berbanding kaedah konvensional.

“Manfaatnya adalah satu dari sudut ketepatan potongannya, jadi ia sedikit sebanyak tidak akan memberikan kerosakan kepada rumah. 

“Keduanya adalah tidak ada sisa yang begitu banyak kerana ia sangat bersih dan ketiganya kawasan perumahan dan juga sistem elektrik sudah termasuk dalam komponen tersebut.

Abang Johari juga berkata, antara yang menggunakan sistem IBS di Sarawak ialah projek perumahan di Jalan Depo di sini dan projek pembesaran kampung luar bandar di Kabong dan Asajaya.

Beliau mencadangkan supaya kilang berkenaan dibangunkan di kawasan pertengahan Sarawak untuk membekalkan komponen IBS ke kawasan utara seperti Limbang, Lawas, Miri dan Bintulu.
Next Post Previous Post