Untung jualan babi RM41,400 jadi hasil kerajaan
BUKIT MERTAJAM— Seorang penternak babi bukan hanya dikompaun RM3,000 malah wang hasil jualan 138 babi hidup bernilai RM41,400 miliknya dilucutkan hak untuk dijadikan hasil kerajaan.
Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit dalam pengurusan kes dengan Orang Kena Kompaun (OKK) Ang Shi Shen, 34 di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Memetik Buletintv3, Ang turut diperintahkan mengembalikan 11 anak babi hidup dan satu pasport ladang khinzir kepada pemilik asal.
Pada 16 Januari lalu, Ang yang menguruskan ladang ternakan babi itu dikompaun RM3,000 selepas mengaku bersalah memindahkan 138 babi hidup tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Mei tahun lalu.
Lelaki itu didakwa memindahkan kesemua babi terbabit dari Perak ke Pulau Pinang selepas ternakan babi yang diuruskannya di ladang Bukit Teh terpaksa dilupuskan berikutan penularan penyakit Demam Babi Afrika (ASF).
Pendakwaan dikemukakan mengikut Perintah 4 (1)(b) Perintah Kawasan Kawalan Penyakit African Swine Fever (Negeri Pulau Pinang) 2022 mengikut Subseksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya JPV Roziman Awang Tahrin manakala OKK tidak diwakili peguam.
Menurut Roziman, penguat kuasa JPV telah menjalankan pemeriksaan dan melupuskan ke semua ternakan babi di ladang itu selepas disahkan dijangkiti ASF pada 27 Januari tahun lalu.
Namun pemeriksaan lanjut mendapati 138 babi dipindahkan OKK dari Perak ke Pulau Pinang tana kebenaran JPV.
Katanya, kesemua babi itu tiada tanda penyakit dan kemudian dilupuskan melalui jualan sebelum hasilnya dilucut hak untuk dijadikan hasil kerajaan.
Media melaporkan tahun lalu terdapat 30 ladang babi komersial di Pulau Pinang disahkan dijangkiti penyakit ASF dengan jumlah babi yang dijangkiti adalah 68,659 ekor.