Tun Wan Junaidi berpengalaman luas, faham kehendak Sarawak - Fadillah

Datuk Seri Fadillah menyelitkan keris di pinggang sempena majlis pengisytiharan Pemakaian Tanjak Serinding Awan Pertubuhan Seni Silat Sendeng Sarawak hari ini.

KUCHING—Pengalaman luas Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Parlimen memberikan kelebihan kepada kepimpinan beliau terhadap Sarawak.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Fadillah Yusof berkata, sumbangan Tun Dr. Wan Junaidi yang besar kepada Sarawak dan Malaysia secara keseluruhan memainkan peranan dalam keputusan Yang Di-Pertuan Agong melantik beliau menjadi TYT Sarawak yang kelapan.

“Pertama sekali, saya ingin menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas pelantikan Tun Dr. Wan Junaidi sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sarawak dan ini adalah merupakan bidang kuasa dari Yang Di-Pertuan Agong.

“Kedua, saya percaya pelantikan Tun Dr. Wan Junaidi mungkin berdasarkan pengalamannya yang telah lama berkhidmat di Parlimen sebagai menteri serta sumbangannya yang signifikan bagi Sarawak dan Malaysia secara keseluruhan.

“Dengan latar belakang pengalamannya, saya yakin hal ini akan menjadi aset bagi negeri Sarawak dengan Tun Wan Junaidi sebagai Yang D-Pertua Negeri,” katanya dipetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Gelanggang Al-Qamar Marapati Serta Pengisytiharan Pemakaian Tanjak Serinding Awan Pertubuhan Seni Silat Sendeng Sarawak (PSSSS) di Amanah Khairat Yayasan Budaya Melayu Sarawak (AKYBMS) di sini pada Sabtu.

Dato Sri Fadillah menambah, dengan pengalaman Tun Dr. Wan Junaidi yang melibatkan penjelajahan seluruh Sarawak, beliau pasti memahami sepenuhnya latar belakang, keperluan, dan kehendak Sarawak.

“Satu latar belakang sebagai anggota polis, kemudian menjadi peguam, ahli parlimen, menteri dan banyak juga menulis buku sebenarnya dan terakhir sekali menjadi timbalan speaker dan menjadi speaker dewan negara.

“Jadi maknanya pengalaman yang luas itulah dan penglibatan dalam pelbagai NGO dan sebagainya, sudah pasti beliau memahami dan beliau pun sudah menjelajah seluruh Sarawak.

“Sudah pasti beliau mengetahui apa latar belakang Sarawak, apa keperluan Sarawak dan dengan itu saya kira ada hubungan baik juga di antara negeri dan persekutuan,” ujarnya.
Next Post Previous Post