Nampak polis, JPJ baru patuh peraturan jalan raya

Lebih 21,000 nahas jalan raya di Sarawak sepanjang 2023

MIRI— Sikap pemandu yang hanya mematuhi peraturan jalan raya apabila melihat anggota polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menjadi punca utama peningkatan nahas jalan raya di Sarawak sepanjang tahun lalu.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Sri Lee Kim Shin berkata, sebanyak 21,418 kes kemalangan jalan raya telah direkodkan sepanjang tahun 2023 dengan peningkatan sebanyak 9.8 peratus berbanding tahun 2022 yang mencatatkan kes sebanyak 19,507.

Beliau berkata, kemalangan rosak mencatatkan kemalangan tertinggi sebanyak 20,563 kes diikuti kemalangan maut sebanyak 378 kes, kemalangan ringan sebanyak 327 kes dan kemalangan parah sebanyak 150 kes.

“Kebanyakan kes jalan raya ini disebabkan orang ramai yang tidak mematuhi peraturan jalan raya dan mereka hanya mematuhi peraturan jalan raya apabila ternampak anggota polis atau JPJ di atas jalan atau sekatan yang dilakukan.

“Peningkatan kes kemalangan yang membimbangkan ini akan diberi tumpuan sepenuhnya oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak untuk tahun 2024,” katanya katanya semasa Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Negeri Sarawak di sini pada Jumaat, lapor Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Lee menasihatkan pengguna jalan harus mematuhi peraturan yang ditetapkan untuk keselamatan diri, bukannya disebabkan oleh anggota tersebut.

“Kita boleh lihat kebanyakannya (kategori kemalangan) meningkat dan ini merupakan satu perhatian yang perlu diberikan dan kita akan terus mengadakan kempen supaya kesedaran keselamatan lalu lintas diambil perhatian berat oleh semua pengguna jalan raya,” tambahnya.

Terdahulu, Lee melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Negeri Sarawak bersempena Sambutan Tahun Baru Cina yang diadakan Stesen Minyak PETRONAS Jalan Pujut 7.

Pada majlis sama, beliau turut menyerahkan jaket keselamatan dan topi keledar kepada pengguna yang melalui stesen minyak tersebut di samping menyampaikan hamper sempena Tahun Baru Cina.
Next Post Previous Post