Tangan disambar buaya ketika buang bangkai ayam
LUNDU-- Lagi kes serangan buaya, terkini seorang lelaki di Kampung Serayan di sini cedera parah di tangan selepas diserang reptilia itu ketika membuang bangkai ayam petang semalam.
Mangsa, Tolik Limpu memberitahu, kejadian itu sangat pantas semasa dia mahu membuang bangkai ayam miliknya yang sudah mati.
"Ayam saya mati jadi saya hendak buangnya (ke dalam sungai) namun secara tiba-tiba buaya menyambar jari saya," katanya ketika dihubungi Borneo Network hari ini.
Jelasnya, lokasi kejadian tidak jauh dari rumahnya.
"Saya sempat melihat kepalanya (buaya) saja, agak besar saiznya," tambahnya lagi.
Susulan kejadian itu, katanya, dia kini dirawat di Hospital Umum Sarawak.
Difahamkan, mangsa kini menjalani pembedahan bagi merawat tangannya itu.
Bagaimanapun setakat ini tiada laporan polis dibuat mangsa.