Dua polis ditahan kes samun, rogol penuntut asing

KUALA LUMPUR—Dua anggota polis ditahan selepas disyaki menyamun dan merogol remaja perempuan dalam kenderaan peronda polis (MPV) di Bukit Ampang di sini, semalam.

Kejadian berlaku pada jam 10.09 malam kelmarin, ketika mangsa dan rakan lelakinya berada di Bukit Ampang View, ditahan oleh dua orang suspek lelaki yang lengkap beruniform.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata, polis mengesahkan menerima dua laporan daripada lelaki dan remaja perempuan warga Uzbekistan yang juga penuntut kolej swasta.

“Salah seorang suspek bertindak merogol mangsa perempuan manakala mangsa lelaki dibawa ke sebuah bank kerana perlu menjelaskan bayaran yang diminta oleh kedua-dua suspek atas kesalahan lalu lintas.

“Susulan laporan polis yang diterima, Hussein berkata, kedua-dua suspek telah ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang, semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, tahanan reman terhadap suspek dibenarkan selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

“Dua kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” jelasnya.
Next Post Previous Post