Polis tahan 'saintis' dan transporter dadah di Miri

KUCHING— ‘Saintis’ diupah RM1,000 seminggu bancuh dadah manakala transporter makan gaji RM8,000 satu trip ke Miri. 

Namun kelicikan itu memakan diri selepas mereka diberkas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak dan Ibu Pejabat Polis Daerah Miri dalam operasi di Miri pada 19 dan 21 Januari lalu. 

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, penahanan kedua-dua lelaki berusia 26 tahun itu menemukan pelbagai jenis dadah bernilai RM426,600

Beliau berkata, tangkapan pertama pada 19 Januari dibuat terhadap seorang suspek di belakang sebuah restoran di Miri sekitar 9.15 malam yang membawa kepada penemuan dua paket ekstasi seberat 54.7 gram.

“Dengan dipandu arah oleh suspek, pasukan polis menyerbu sebuah apartment di Taman Piasau Indah dan menemui pelbagai jenis dadah iaitu ekstasi (12,873 gram), ketamin (1.70 gram) dan pil ekstasi (0.3 gram) keseluruhan dianggarkan bernilai RM152,700.

“Siasatan lanjut mendapati suspek menggunakan apartment sebagai tempat memproses dan membungkus dadah yang diperolehi daripada rakan sejenayah di Miri.

“Suspek yang menerima upah sebanyak RM1,000 seminggu kemudian memproses dan membungkus dadah itu dalam ‘jus master’ sebelum diedarkan di sekitar Miri,” katanya semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis KontinjenSarawak, hari ini.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman selama enam hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga 26 Januari 2024 untuk siasatan di bawah Seksyen 39B ADB 1952.

Tangkapan kedua pula pada 21 Januari sekitar 9 pagi di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Miri oleh sepasukan polis dari BSJN IPD Miri.

“Suspek ditahan bersama bersama sebuah bagasi yang mengandungi 8,300 gram dadah disyaki syabu yang dianggarkan bernilai RM273,900.

“Siasatan lanjut mendapati suspek membawa masuk dadah dari Semenanjung Malaysia ke Miri melalui laluan udara dengan upah sebanyak RM8,000.

“Suspek diarahkan untuk membawa dadah tersebut ke Sabah dengan urusan penerbangan dan penginapan diuruskan sindiket,” kata Mancha.

Katanya, polis turut menyita sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi bernilai RM11,800 milik suspek.

Suspek kini ditahan reman selama 5 hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah hingga 27 Januari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B ADB 1952.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dalam kedua-dua operasi ini boleh digunakan untuk 84,597 orang penagih.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup, dan jika tidak dihukum dengan hukuman mati, dihukum dengan sebatan yang tidak kurang daripada 12 sebatan bagi pesalah yang disabitkan kesalahan,”kata Mancha.
Next Post Previous Post