Sedar ditipu selepas 32 kali pindahkan RM6.2 juta

IPOH— Seorang wanita warga emas hanya menyedari mangsa ‘scammer’ selepas 32 kali memindahkan RM6.2 juta dalam skim pelaburan tidak wujud menerusi Facebook dan Whatsapp.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata,ia merupakan jumlah kerugian paling tinggi melibatkan kes penipuan di negeri itu setakat ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 61 tahun berasal dari Taman Rasi Berjaya itu semalam.

“Pada 14 Oktober lalu, semasa pengadu berada di rumah, dia melayari satu blog pelaburan di Facebook dan menekan pautan kepada nombor telefon suspek di dalam aplikasi Whatsapp

“Suspek memasukkan nombor telefon pengadu ke dalam kumpulan Whatsapp berbeza-beza bagi tujuan pelaburan dalam pasaran emas.

“Pengadu kemudian telah memasukkan dana sebanyak 32 kali ke dalam 11 akaun yang berbeza, berjumlah RM6,220,000. 

“Pengadu sedar dia telah ditipu apabila ingin mengeluarkan wang pelaburan sebanyak RM2,200,000 tetapi tiada maklum balas diterima daripada suspek,” katanya.

Selain itu, platform pelaburan itu juga tidak dapat diakses.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Next Post Previous Post