Rabies ragut nyawa dua lelaki, seorang wanita di Sarawak

KUCHING-- Wabak rabies kini meragut tiga lagi nyawa di Sarawak, kata Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Ooi Choo Huck.

Beliau memberitahu berkata, tiga kematian dalam kalangan manusia itu masing-masing direkodkan di Kuching dua kes dan Sebauh satu kes.

"Kes pertama telah meninggal dunia pada 9 Januari 2024
manakala kes kedua telah meninggal dunia pada 12 Januari 2024 dan kes ketiga meninggal dunia pada 20 Januari 2024. 

"JKN Sarawak mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut kes kematian itu, Dr Ooi berkata, pesakit pertama merupakan seorang perempuan berumur 39 tahun yang tinggal di Daerah Kuching yang mana dia mula mengalami gejala pertuturan yang kurang jelas, lemah badan dan kesukaran berjalan pada 6 Januari 2024 dan
telah mendapatkan rawatan pada 8 Januari 2024. 

"Sampel klinikal yang diuji telah mengesahkan beliau dijangkiti rabies," jelasnya sambil menambah pesakit mempunyai sejarah gigitan oleh anjing liar di kawasan perumahan beliau pada bulan Disember 2023 dan dia tidak mendapatkan rawatan atau menerima vaksinasi anti-rabies
di mana-mana fasiliti kesihatan.

Pesakit kedua pula katanya, melibatkan seorang lelaki berumur 61 tahun yang tinggal di Daerah Sebauh, Bintulu, mula mengalami gejala lemah badan dan kesukaran menelan air pada 5 Januari 2024 dan telah mendapatkan rawatan pada hari yang sama. 

"Sampel klinikal yang diuji telah mengesahkan beliau
dijangkiti rabies. Pesakit mempunyai anjing dan kucing peliharaan yang bebas bercampur dengan haiwan liar, dan kesemua haiwan peliharaan beliau tidak pernah diberi vaksinasi anti-rabies. 

"Pesakit mempunyai sejarah dicakar oleh dua anjing dan kucing peliharaan pada tahun 2023, namun beliau tidak pernah mendapatkan rawatan atau menerima vaksinasi anti-rabies di mana-mana fasiliti kesihatan," katanya.

Tambah Dr Ooi, pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak telah mengambil sampel dua ekor anjing liar dan kedua-dua sampel didapati positif rabies.

Sementara pesakit ketiga katanya, membabitkan seorang lelaki berumur 42 tahun yang tinggal di Daerah Kuching, mula mengalami gejala sakit perut, kesukaran berjalan, demam, pertuturan kurang jelas dan takut pada air (hydrophobia) pada 11 Januari 2024 dan telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 16 Januari 2024. 

"Sampel klinikal yang diuji telah mengesahkan beliau
dijangkiti rabies. 

"Pesakit memelihara lebih kurang sepuluh (10) ekor kucing yang bebas bercampur dengan haiwan liar dan dia pernah digigit dan dicakar di bahagian siku kanan oleh kucing peliharaan beliau pada bulan Oktober 2023, namun tidak pernah mendapatkan rawatan atau menerima vaksinasi anti-rabies di mana-mana fasiliti kesihatan," katanya.

Tegas beliau dengan pertambahan kes baru ini, kumulatif kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak yang dilaporkan semenjak wabak diisytiharkan pada Julai 2017 sehingga kini adalah sebanyak 78 kes dengan 71 kematian.

"Daripada 78 kes ini, 38 kes disebabkan oleh anjing peliharaan yang bebas bercampur dengan haiwan liar, 20 kes disebabkan oleh anjing liar, 5 disebabkan oleh kucing peliharaan yang bebas bercampur dengan haiwan
liar, 1 kes disebabkan oleh kucing liar, manakala 14 kes lagi tidak dapat dikenal pasti.

"JKN Sarawak ingin mengingatkan orang awam bahawa manusia boleh mendapat jangkitan rabies melalui haiwan yang dijangkiti rabies," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu sejak 2017 sehingga minggu epid ke 3 tahun 2024, terdapat 52,969 kes gigitan anjing, 43,345 kes gigitan kucing dan 1,490 gigitan lain-lain haiwan telah dilaporkan. 

Jelas beliau secara puratanya terdapat 381 kes gigitan haiwan dilaporkan setiap minggu di Sarawak sejak minggu epid 1 tahun 2024 (31 Disember 2023 sehingga 6 Januari 2024) sehingga minggu epid 3 tahun 2024 (14 Januarisehingga 20 Januari 2024). 

"Adalah tidak mudah bagi orang awam untuk mengenal pasti haiwan yang dijangkiti rabies. 

"Oleh itu, orang awam dinasihati untuk mendapatkan rawatan di fasiliti-fasiliti kesihatan terdekat jika digigit atau dicakar oleh anjing atau kucing. 

"Penyakit rabies di kalangan manusia boleh dicegah dengan suntikan vaksin anti-rabies dan Rabies Immunoglobulin (mengikut penilaian pengamal perubatan) walaupun telah digigit atau dicakar oleh haiwan yang telah dijangkiti rabies," katanya.
Next Post Previous Post