Pengalaman Tun Wan Junaidi mampu beri sumbangan besar kepada Sarawak-Abang Johari

Abang Johari Tun Openg menghadiri Majlis Makan Malam Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Saberkas Negeri Sarawak malam tadi. Gambar ihsan Pejabat Premier Sarawak

KUCHING-- Pelantikan Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelapan diyakini mampu memberi sumbangan besar kepada negeri ini, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau memberitahu, ini kerana Tun Wan Junaidi mempunyai pengalaman yang luas di peringkat negeri dan persekutuan sebelum ini.

"Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan untuk pelantikan ini. Saya ucapkan tahniah (kepada Tun Wan Junaidi) di atas pelantikan ini. 

"Saya yakin dengan pengalaman yang beliau ada di peringkat negeri dan persekutuan sudah pasti akan memberi sumbangan kepada Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Sambutan Jubli Emas Saberkas Negeri Sarawak di sebuah hotel di Kuching, malam tadi. 

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Presiden Saberkas Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan tetamu kehormat lain.

Terdahulu, Tun Wan Junaidi yang juga bekas Yang Dipertua Dewan Negara dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang baharu berkuat kuasa hari ini, menggantikan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang memegang jawatan berkenaan selama 10 tahun sejak Mac 2014.

Pelantikan Tun Wan Junaidi dibuat mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sarawak bagi tempoh empat tahun dari 26 Jan 2024 hingga 26 Jan 2028.

Dalam perkembangan lain, Abang Johari berkata, ada syarikat dari Arab Saudi berminat untuk melabur di Sarawak dalam pembangunan tenaga diperbaharui.

Jelasnya, delegasi dari negara tersebut telah berkunjung ke sini tiga hari lalu untuk mengetahui lebih lanjut tentang usaha itu termasuk pembangunan tenaga hidrogen yang Sarawak sedang bangunkan.
Next Post Previous Post