Lebih RM100 juta diperuntuk bina jalan raya berhias di Kota Samarahan

Minos bercakap kepada media selepas merasmikan Arden City yang dibangunkan Ibraco Berhad di sini pada Jumaat.

KOTA SAMARAHAN—Kota Ilmu akan diperindahkan dengan peruntukan lebih RM100 juta bagi projek jalan raya berhias atau 'boulevard'.

Memetik laporan The Borneo Post, Pengerusi Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) Dato Peter Minos berkata, projek itu akan dibangunkan di Kota Samarahan pada tahun ini bagi kesejahteraan penduduk setempat.

Tambahnya, projek yang terletak tidak jauh dari MPKS di sini sudah diluluskan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tiga minggu lepas dan akan dikeluarkan tender juga pada tahun ini.

"Jalan raya tersebut akan dihiasi pokok dan bunga selain menempatkan ciri-ciri kebudayaan setempat.

"Ini nanti akan diuruskan oleh MPKS di bawah tajaan dana daripada Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA).

"Ia merupakan sebahagian daripada projek pesisir dan Greater Samarahan yakni idea Premier Sarawak," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Arden City yang dibangunkan Ibraco Berhad di sini, pada Jumaat.

Minos memberitahu, buat masa ini Kota Samarahan tidak mempunyai sebuah pusat hiburan untuk keluarga.

Oleh itu, katanya, dengan adanya projek itu, sekurang-kurangnya, masyarakat di sini boleh berkumpul pada hujung minggu untuk beriadah dan meluangkan masa bersama.

Gambar kredit Utusan Borneo
Next Post Previous Post