Doktor ungkit cuti Thaipusam, netizen tanya cuti Gawai

Gambar ihsan Facebook Dr Daya Nandan

KUCHING— Seorang doktor yang bertugas di Sarawak dikecam ekoran satu kenyataan yang mempersoalkan layanan berbeza terhadap penjawat awam bagi menyambut perayaan Thaipusam hari ini.

Kenyataan doktor itu yang dipertikai antara lain menyebut, tiada kemudahan cuti tanpa rekod diberikan kepada kumpulan penjawat awam beragama Hindu di negeri berkenaan, sebaliknya mereka hanya boleh mengambil cuti rehat.

“Mengapa kita didiskriminasi dalam soal pemberian cuti. Thaipusam hanya sekali setahun tetapi kita tidak boleh mendapatkan satu pun cuti tanpa rekod? 

 “Perkara ini amat ‘memalukan’ apabila negeri-negeri lain boleh menawarkan cuti Thaipusam tetapi Sarawak tidak berbuat demikian bagi membolehkan golongan minoriti ini menyambut perayaan,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.

Doktor itu menambah, layanan berbeza antara negeri itu adalah satu tindakan diskriminasi kepada penjawat awam dari Semenanjung yang bersedia untuk bertugas di Sarawak, jauh daripada keluarga.

“Inikah yang kita laung-laungkan bersatu padu selepas lebih 60 tahun kemerdekaan?Jangan terkejut jika lebih ramai orang India menolak tawaran bekerja di Sarawak selepas ini.

“Bertahun-tahun menabur bakti di negeri orang tetapi beginilah jasa kita dibalas,” katanya.

Namun kelantangan doktor itu mendapat kritikan daripada ramai netizen yang memberitahu rakyat Sarawak yang bekerja di Semenanjung Malaysia turut mendapat layanan yang sama, iaitu tiada cuti semasa Gawai Dayak.

Pengguna Facebook dikenali Emery KKs berkata, doktor tersebut harus berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu.

“Cuti boleh diambil tapi you gunakan statement begini untuk menentang peruntukan undang-undang MA63 di Sarawak.

“You should be aware of this statement in Sarawak. Jika begitu kembalikan cuti perayaan Hari Gawai di Semenanjung Malaysia
Apa macam leh. Seri lor,” katanya.

Menurut Emery, Sarawak hanya mempunyai 1% kaum minoriti India berbanding kaum etnik 90% Iban.

“Sebab itu kami berbesar hati menghantar pulang doktor yang mempunyai mentaliti seperti ini di Sarawak.

“Abang Jo (Premier Sarawak) will ban this simply stupid doctor soon. Sudah terima bonus RM600 Abang Jo bagi, tapi tidak bersyukur, belukuk aruk.

“Ingatlah tanpa Sabah dan Sarawak, Malaysia hanya sekadar kenang-kenangan,” katanya.

 Gurkha Gunjom pula berkata, dia berasa sedih dan malu kerana cuti perayaan Gawai Dayak hanya di Sarawak walhal ramai rakyat negeri itu bekerja di seluruh Malaysia.

“Saya pun sedih dan malu sebab Gawai hanya di Sarawak cuti. Lagi-lagi masa tu tiket kapal terbang mahal,” coretnya dalam ruangan komen hantaran yang dikongsikan Borneo Network.

“Kami di Malaya, cuti Gawai pun tiada, samalah tu. Kami sedar kami minoriti di sana,” kata Tajau S. Raja.

Mereka berpendapat, doktor tersebut tidak seharusnya menuduh Sarawak bersikap diskriminasi dalam pemberian cuti Thaipusam.

“Minta cuti sajalah,apa mahu kecoh,kita di Malaya pun mana ada cuti Gawai,itupun sekolah buka awal,” kata Bertie Munaz.

Dalam pada itu, Andrew K Esei mencadangkan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memberikan kelonggaran kepada yang menyambut Thaipusam.

“Di sini masih banyak yang perlu dibawa ke parlimen contohnya, Sarawak cuti Malaya kerja, Sarawak kerja Malaya cuti,” katanya.

Memetik Utusan Malaysia, kerajaan melalui surat pekeliling memutuskan supaya cuti rehat diberikan kepada pegawai-pegawai sektor awam yang menganut agama Hindu untuk merayakan Hari Thaipusam menggunakan kelayakan cuti rehat masing-masing.

Dengan keputusan ini pegawai-pegawai dalam sektor awam Malaysia yang beragama Hindu yang berkhidmat di negeri-negeri termasuk Wilayah Persekutuan atau berkhidmat di luar negara, yang mana Thaipusam bukan hari kelepasan am, mereka boleh diberikan cuti rehat, jika hendak merayakannya.

Sebelum ini, isu sama turut berlaku dalam pemberian cuti umum sempena perayaan Hari Deepavali tahun lalu kepada pegawai perkhidmatan awam Persekutuan beragama Hindu yang berkhidmat di Sarawak apabila tiada cuti tanpa rekod diberikan kerana hari perayaan itu jatuh pada hari Ahad untuk hari berikutnya.

Susulan rungutan pegawai awam yang bertugas di Sarawak itu, kerajaan bersetuju memberi cuti tanpa rekod pada hari bekerja berikutnya melalui Pekeliling Perjawatan negeri Sarawak Bilangan 26 tahun 2023.
Next Post Previous Post