Minta rasuah lebih RM6 juta, CEO persatuan bola sepak antara empat ditahan

Empat termasuk CEO dan dua wakil perunding bola sepak di negeri utara ditahan reman tiga hari bermula hari ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuh lebih RM6 juta.

PUTRAJAYA—Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) bersama dua wakil perunding sebuah persatuan bola sepak di negeri utara antara empat ditahan reman tiga hari bermula hari ini, kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah lebih RM6 juta.

Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor membenarkan permohonan reman empat suspek oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Alor Setar, pagi tadi.

Menurut sumber, keempat-empat suspek lelaki yang berusia antara 40 hingga 60 tahun itu telah ditahan sekitar jam 5.00 hingga jam 6.30 petang semalam ketika hadir ke Pejabat SPRM Kedah bagi dirakamkan keterangan.

"Berdasarkan siasatan yang dijalankan, wang lebih RM6 juta berkenaan telah dimasukkan ke dalam akaun sebuah persatuan bola sepak.

"Wang rasuah berkenaan dipercayai sebagai balasan kerana membantu seorang pemilik sebuah syarikat untuk mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di sebuah negeri," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap keempat-empat suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16a(B) Akta SPRM 2009.
Next Post Previous Post