18 warga asing berpesta rai tahun baharu diberkas

Warga asing yang ditahan dalam Op Noda di sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya. Gambar ihsan PDRM

MELAKA— Keseronokan 18 warga asing berpesta bagi meraikan Tahun Baharu 2024 berakhir apabila mereka ditahan polis.

Mereka ditahan di sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya menerusi serbuan operasi ‘Op Noda’ oleh sepasukan Polis dari Cawangan Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7), Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah. 

Ketua Polis Melaka, DCP Datuk Wira Hj. Zainol Hj. Samah berkata, kesemua individu yang terdiri daripada 13 warganegara Indonesia, Bangladesh (4) dan seorang wanita warganegara Thailand ditahan di sebuah Pusat Hiburan di Taman Melaka Raya, Melaka pada 11.30 malam kelmarin.

“Polis turut menahan seorang penjaga premis lelaki tempatan berusia 24 tahun kerana kesalahan menggaji warganegara asing tanpa permit yang sah. 

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati empat daripada individu ditahan positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan.

Semua warganegara asing yang ditahan telah disiasat mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat permit yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM 10,000 atau penjara maksimum (6) bulan atau kedua-duanya. 

Manakala, penjaga premis telah disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM 50,000 atau penjara tidak lebih dari 12 bulan atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan. 

Penjaga turut disiasat mengikut Seksyen 11 (2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 2001 kerana melanggar syarat lesen yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM 10,000 atau penjara tidak melebihi (2) tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan. 

Manakala, semua warganegara asing yang ditahan telah disiasat mengikut Peraturan 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat permit yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM 10,000 atau penjara maksimum (6) bulan atau kedua-duanya.
Next Post Previous Post