Lelaki alami kecederaan parah diserang dua ekor buaya di Sungai Sebatang Ulu

BINTULU -- Seorang lelaki dalam lingkungan umur 30-an nyaris maut selepas diserang dua ekor buaya semasa sedang menjala di Sungai Sebatang Ulu sekitar jam 7 malam Khamis lalu.
Serangan yang berlaku mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian peha, betis dan kaki akibat gigitan reptilia ganas itu.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Batholomew Umpit ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes dari saudara mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu pada jam 9 pagi tadi.

"Pihak kita akan meminta Sarawak Forestry Corporation (SFC) bagi menjalankan siasatan serta tindakan lanjut berhubung kes ini kerana ianya melibatkan serangan buaya," jelas beliau.
Borneo Network turut difahamkan bahawa mangsa kini sedang diberikan rawatan lanjut di Hospital Bintulu.

SFC dalam kenyataan laman Facebook rasmi miliknya baru-baru ini memberikan peringatan bahawa aktiviti buaya meningkat terutamanya dari bulan November hingga Mac ini nanti disebabkan ianya merupakan musim reptilia berkenaan mengawan.

Gambar Facebook
Next Post Previous Post