Jarak Perjalanan Bas RM1 Dihadkan 40km

Program Subsidi Tambang Bas Kadar Rata RM1 di diteruskan namun terhad kepada laluan tidak melebihi 40 kilometer (km) (gambar arkib kredit FB Lee Kim Shin)

KUCHING—Program Subsidi Tambang Bas Kadar Rata RM1 di diteruskan namun terhad kepada laluan tidak melebihi 40 kilometer (km), kata Dato Sri Lee Kim Shin.

Menteri Pengangkutan Sarawak (MOTS) itu berkata, program subsidi akan dilaksanakan dengan kerjasama syarikat bas henti-henti sehingga 2025.

“Syarikat bas henti-henti di MIri, Bintulu, Sibu, Sarikei dan Kuching dan MOTS telah mencapai persetujuan menguatkuasa dasar program subsidi terhad kepada laluan tidak lebih daripada 40km bermula 1 Januari lalu.

“Program subsidi ini akan diteruskan sehingga 2025 dan yang memberi manfaat kepada kepada rakyat terutama kumpulan B40,” katanya.

Lee berkata demikian selepas mempengerusikan sesi dialog berhubung taklimat Semakan Semula Subsidi Tambang Bas Kadar Rata RM1 bersama agensi dan syarikat-syarikat bas henti-henti di sini.

Beliau berkata, semua isu yang dibangkitkan oleh syarikat bas telah diselesaikan secara baik menerusi sesi dialog berkenaan.

MOTS dalam kenyataan sebelum ini memberitahu program subsidi itu yang dilaksanakan sejak Mei 2020 perlu dikaji semula berikutan peningkatan kos operasi dan perbelanjaan. 

Langkah itu termasuk mengehadkan operasi bas hanya untuk laluan tidak melebihi 40 kilometer (km) berbanding sebelum ini tidak mengira jarak perjalanan,

Dilaporkan purata jumlah penumpang telah meningkat dengan mendadak, daripada 209,055 sebulan pada 2021 kepada 364,725 sebulan pada 2023.
Next Post Previous Post