Dua kali pindah wang baru sedar ditipu

MIRI– Dua individu menjadi mangsa terbaharu skim penipuan pelaburan saham atas talian di sini sehingga kerugian lebih RM8,000. 

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah (BSJKD) menerima aduan dari warga tempatan itu pada Sabtu lalu.

Katanya, mangsa pertama seorang suri rumah berusia 40-an yang ditawarkan pelaburan saham melalui Facebook yang menjanjikan keuntungan dalam masa yang singkat. 

“Wanita tersebut telah membuat bayaran sehingga berjumlah RM2,800 ke akaun pihak ketiga melalui dua transaski melalui mesin deposit. Mangsa menyedari tertipu selepas suspek meminta bayaran tambahan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Alexson berkata, mangsa kedua lelaki berusia 30-an yang ditawarkan pelaburan saham secara atas talian melalui aplikasi Telegram yang menjanjikan keuntungan dalam masa singkat. 

“Mangsa yang bekerja sebagai operator syarikat swasta terpedaya lalu membuat pembayaran sebanyak dua kali berjumlah RM5,500 melalui perbankan internet. 

“Mangsa hanya sedar ditipu selepas suspek meminta bayaran tambahan,” katanya.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Next Post Previous Post