Budak 10 tahun antara empat diberkas dalang kes samun

Dua daripada empat suspek yang ditahan di hadapan sebuah restoran Jalan Tugu Kampung Air, Kota Kinabalu. Gambar PDRM

KOTA KINABALU— Budak 10 tahun antara empat lelaki warga asing yang diberkas disyaki dalang kes samun di sekitar bandar raya ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata suspek berusia antara 10 hingga 28 tahun itu ditahan dalam operasi Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di Jalan Segama, serta Jalan Tugu, Kampung Air, di sini, pada Sabtu dan Ahad lalu.

Katanya, tangkapan itu susulan kejadian samun seorang warga China oleh dua lelaki di Jalan Gaya, di sini, sehingga menyebabkan mangsa kehilangan wang tunai dan beberapa barang berharga pada 30 Disember lalu.

Memetik Berita Harian, pegawai dan anggota D9 JSJ Kontinjen Sabah menjalankan siasatan sebelum berjaya menahan dua lelaki di tepi bangunan di Jalan Labuk, Segama, di sini, pada 13 Januari lalu.

“Ketika ditahan, kesemua suspek terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Turut dirampas beberapa barang disyaki hasil kegiatan samun selain dua bilah pisau, pemutar skru dan tukul dipercayai digunakan oleh suspek.

Hasil risikan dan pemantauan berterusan, Jauteh menambah polis berjaya memberkas dua lagi suspek termasuk seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dalam serbuan di Jalan Tugu, Kampung Air pada 14 Januari lalu.

Jauteh menambah, kes disiasat Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

“Dengan penahanan keempat-empat suspek itu, polis berjaya menyelesaikan beberapa kes samun di kawasan tumpuan pelancong di bandar raya ini,” katanya.
Next Post Previous Post