Bergaduh guna kayu, lima lelaki ditahan

BATU PAHAT— Perselisihan faham dipercayai punca seorang lelaki dibelasah lapan lelaki bersenjatakan kayu di kawasan lapang Tapak Pesta, Jalan Gangsa di sini pada Selasa.

Kejadian berlaku ketika mangsa berusia 25 tahun pergi ke lokasi kejadian untuk menjemput rakan pulang dari sekolah.

Tangkap layar video tular seorang lelaki dipukul sekumpulan lelaki di Tapak Pesta, Jalan Gangsa, Batu Pahat pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, semasa menunggu rakan tersebut, mangsa telah didatangi lapan lelaki yang dipercayai warga tempatan dan menyerang serta memukul mangsa menggunakan kayu.

“Mangsa berjaya melarikan diri dengan menaiki kereta dan terus ke Balai Polis Batu Pahat bagi membuat laporan.

“Mangsa yang cedera di pipi, tangan, belakang dan telah menerima rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Susulan itu katanya, seramai lima lelaki berusia 16 hingga 40-an itu ditahan dan direman sehingga esok bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya sambil menambah polis kini mengesan suspek lain yang terlibat.
Next Post Previous Post