Sarawak tambah geran UNIFOR kepada RM110 juta bagi 2024

KUCHING-- Kerajaan Sarawak menambah peruntukan untuk Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) kepada RM110 juta pada tahun hadapan bagi membantu semua agama bukan Islam di negeri ini khususnya dalam memenuhi keperluan infrastruktur mereka.

Tambahan peruntukan itu diumumkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada majlis Malam Apresiasi UNIFOR 2023 di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Jelasnya, peruntukan tahunan kepada UNIFOR dinaikkan sebanyak RM10 juta bermula 2024, menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak RM110 juta.

"Saya faham jumlah ini tidak mencukupi untuk menangani peningkatan permintaan daripada pelbagai rumah ibadat di seluruh Sarawak," katanya.

Tambahnya, Uskup Agung Gereja Roman Katolik Kuching, Simon Poh ada mencadangkan kepadanya mengenai Gereja Katedral St. Peter di Padungan, supaya tidak membebankan dana UNIFOR.

"Saya tidak kisah menyediakan dana berasingan untuk tujuan ini," katanya.

Abang Johari memberitahu, selain bantuan daripada wakil-wakil rakyat melalui geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP), kerajaan di bawah pimpinannya juga sentiasa membantu tanpa mengira agama.

 "Jadi dengan kata lain, kita semua membantu walaupun terdapat perbezaan mahupun kepercayaan dalam agama masing-masing.

“Saya tetap percaya bahawa jika kita membantu orang, Tuhan akan membantu kita sebagai balasan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Sarawak telah membantu orang ramai dan setakat ini semuanya berjalan lancar. 

"Di bawah kepimpinan saya, pendapatan Sarawak berjaya digandakan daripada RM6 bilion kepada RM12 bilion dalam tempoh enam tahun,"ujar beliau.

Jelasnya lanjut, pendapatan itu diyakini akan terus berkembang sehingga 2030. 
 
Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan Universiti Malaya merancang untuk mewujudkan kampus undang-undang di Sarawak yang memfokuskan tanah hak adat Bumiputera (NCR) dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau turut mengetengahkan bahawa Universiti Teknologi Sarawak Swinburne juga menganjurkan program ijazah dalam perundangan.

Sehubungan itu, tegasnya, Sarawak amat konsisten dan komited dalam menyediakan pendidikan percuma pada 2026. 

Menurutnya, ini bagi membolehkan kesemua anak Sarawak tanpa mengira latar belakang dan agama dapat menikmati pendidikan mereka.

Ketika Sarawak mempergiatkan peralihannya kepada ekonomi berpendapatan tinggi, Abang Johari menekankan keperluan untuk perancangan dan persediaan rapi untuk melaksanakan pendidikan percuma, mengiktiraf usaha yang diperlukan untuk memastikan tenaga kerja berbakat untuk kemajuan masa depan Sarawak.

Sehubungan itu, Abang Johari menggesa rakyat Sarawak supaya memupuk rasa hormat-menghormati, memelihara keamanan, dan bekerjasama untuk kemajuan bagi memastikan Sarawak mencapai matlamat menuju tahun 2030.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak selaku menteri bertanggungjawab terhadap UNIFOR Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr. Annuar Rapa’ee, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat; Penerangan dan UKAS Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai Dan Laut) Dato Henry Harry Jinep, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datu Hii Chang Kee, Pengarah UNIFOR Datu Jack Aman Luat serta Ketua-ketua Jabatan lain.
Next Post Previous Post