Sarawak belanja RM90.42 juta bayar PTPTN anak Sarawak

Kuching--Kerajaan Sarawak membelanjakan RM90.42 juta untuk menyelesaikan sekurang-kurangnya 30 peratus hutang peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam kalangan anak tempatan negeri ini.

Pengerusi PTPTN Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, jumlah yang diterima itu diperoleh sejak PTPTN dan Yayasan Sarawak memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama Insentif Bayaran Balik Pinjaman PTPTN Anak Sarawak pada 5 Mac 2021.

"Pada hari ini, Yayasan Sarawak sekali lagi menyalurkan peruntukan insentif bayaran balik pinjaman PTPTN kepada anak-anak Sarawak berjumlah RM12.43 juta dan dianggarkan sebanyak 3,000 peminjam yang layak akan menerima insentif itu.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak berjumlah RM90.42 juta yang memberi manfaat kepada lebih 25,000 peminjam PTPTN dalam kalangan anak Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Yayasan Sarawak menyerahkan cek bagi baki hutang peminjam PTPTN dari negeri itu yang diadakan di Menara PTPTN Kuala Lumpur.

Penyerahan disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Yayasan Sarawak Louis Simon Peter kepada Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Kenyataan itu menambah, pelaksanaan insentif bayaran balik pinjaman PTPTN kepada anak Sarawak merupakan kesinambungan inisiatif Belanjawan Negeri Sarawak 2020.


Melalui MOU itu juga,, Kerajaan Negeri Sarawak akan membayar sebanyak 30 peratus daripada baki hutang pinjaman PTPTN terkini bagi peminjam yang telah menyelesaikan sekurang-kurangnya 30 peratus hutang pinjaman mereka.

Norliza berharap, insentif bayaran balik pinjaman kepada anak Sarawak diteruskan lagi pada masa akan datang bagi manfaat anak Sarawak.
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.