Anak jumpa bapa sudah meninggal, mayat reput dan berulat di Taiton Bau

BAU-- Seorang lelaki terkejut apabila menjumpai bapanya sudah meninggal dan mayatnya sudah reput dan berulat di sebuah rumah di kawasan Taiton di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Jawai Francis Kempas berkata, polis menerima laporan daripada pihak Hospital Bau sekitar jam 8.05 pagi tadi mengenai penemuan mayat seorang lelaki di rumah tersebut.

Jelasnya, anak lelaki mangsa yang menjumpai mayat bapanya pada jam 6.30 pagi tadi.

"Pemeriksaan oleh pihak polis mendapati bahawa mangsa adalah seorang lelaki berumur 61 tahun yang menyewa bilik di sebuah rumah bersebelahan dengan anaknya di satu penempatan di Taiton.

"Pemeriksaan lanjut keadaan fizikal mayat telah mereput dan berulat. Tiada unsur jenayah di kesan dalam kematian mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Jawai, mangsa juga dikatakan memiliki sejarah kesihatan iaitu lemah jantung dan sakit buah pinggang kronik.

Jelasnya, kali terakhir anak mangsa melihat mangsa dalam keadaan baik pada Ahad lepas.

"Mayat telah dibawa ke Hospital Bau untuk siasatan dan tindakan lanjut. 

"Kes masih lagi dalam siasatan dan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (sdr)," ujarnya.
Next Post Previous Post