Pengedar ditahan bersama hampir 1.9kg dadah

Sebahagian dadah yang berjaya dirampas dalam serbuan di Miri kelmarin. Gambar ihsan PDRM

MIRI— Polis menahan seorang lelaki menerusi satu serbuan melibatkan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM111,663 di sebuah rumah di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan suspek warga tempatan berusia 43 tahun itu ditahan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak pada jam 9.10 malam.

Beliau berkata, suspek disyaki bergiat aktif dalam pengedaran dadah di sekitar bandar raya ini.

“Hasil serbuan, polis merampas dadah jenis Ketamin, Ecstasy dan Syabu berjumlah 1847.78 gram.

“Nilai rampasan barang disyaki dadah dianggarkan jumlah bernilai RM 111,663,” katanya dalam kenyataan semalam.

Alexson menambah, pihaknya turut menyita sebuah kereta Perodua Myvi berwarna hitam dianggarkan bernilai RM 20,000.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Miri untuk permohonan reman dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes ini disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau jika tidak dihukum mati, boleh dipenjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
Next Post Previous Post