Mulu bakal diakses melalui jalan darat

MIRI— Pembangunan jalan raya di Utara Sarawak diperhebat bagi memudahkan rakyat dan pelancong yang berkunjung ke negeri ini, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, kerajaan bercadang menyiapkan jaringan jalan dari Mulu sehingga ke Long Terawan menjelang 2030.

“Ketika ini kerajaan sedang membina jalan dari Marudi ke Long Terawan berharga lebih RM1 bilion bagi menghubungkan kawasan Mulu termasuk Taman Negara Gunung Mulu melalui darat.

“Selain itu, pembinaan jambatan baharu menghubungkan Miri ke Marudi sedang rancak dan dijangka siap pada 2024,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Hotel Mercure Miri City Centre di sini, pada Sabtu.

Bagi mengukuhkan sektor penerbangan, Abang Johari berkata Sarawak telah memperoleh MASwings, dengan visi untuk mewujudkan hab perhubungan yang setanding dengan Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Mendapat inspirasi daripada kejayaan UAE bersama Emirates Airlines, Abang Johari memberitahu strategi penetapan harga kompetitif syarikat penerbangan itu, menekankan sumbangan besarnya kepada infrastruktur dan pelaburan.

"Tiga puluh tahun lalu, Dubai hanyalah padang pasir. Tiada apa-apa di Dubai sehingga UAE mengambil Singapura sebagai model, dan hari ini Dubai berkembang pesat," katanya.

Abang Johari menekankan perspektif kerajaan Sarawak mengenai pengambilalihan MASwings sebagai pelaburan dan bukannya keuntungan.

"Sama seperti membina jambatan, anda tidak bertanya berapa pulangan. Perkara yang sama berlaku untuk syarikat penerbangan kami. Untuk mengukur kejayaan, ia berdasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kerana apabila orang masuk, mereka akan berbelanja wang, dan ekonomi kita akan berkembang," tambahnya.

Hadir sama Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Fazzrudin Abdul Rahman.

Sumber Jabatan Premier Sarawak
Next Post Previous Post