Pengecualian visa dijangka lonjak ketibaan pelancong China, Tiong

KUALA LUMPUR— Sambutan 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia - China dijangka lebih ‘meriah’ susulan langkah kerajaan bekerjasama dengan syarikat penerbangan, Hainan Airlines untuk menyediakan lebih banyak penerbangan antara kedua-dua negara.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kementerian sudah bermesyuarat dengan wakil Hainan Airlines di Beijing pada 9 Disember lalu bagi membincangkan potensi itu, atas semangat diplomatik yang dibina 50 tahun lalu.

“MOTAC berharap dapat menerokai peluang sepenuhnya serta meningkatkan penerbangan antara kedua-dua negara melalui sebelas anak syarikat Hainan Airlines. 

“Ini termasuk menyediakan lebih banyak penerbangan terus, connecting flight, perkhidmatan charter yang dapat memaksimumkan pertukaran perniagaan dan pelancongan kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, pengenalan lebih banyak penerbangan terus dua hala dari China merupakan satu lagi ‘hadiah’ hasil hubungan diplomatik selepas pengecualian visa selama 30 hari untuk rakyat negara itu datang ke Malaysia diperkenal sejak 1 Disember lalu

Tidak syak lagi, pengecualian visa dan penambahan penerbangan terus dari China bakal melonjakkan jumlah bilangan pelancong dari negara itu.

“Kedua-dua pencapaian terbaharu ini sudah tentu memerlukan penerbangan tambahan untuk meningkatkan kesalinghubungan kedua-dua negara.

“Justeru, semua pihak perlu bekerjasama dalam membincangkan kekerapan penerbangan, kapasiti penumpang, masa penerbangan dan laluan baharu. Ini termasuk menyediakan lebih banyak penerbangan terus dari bandar-bandar utama.

Setakat ini, pelancongan paling tinggi ke Malaysia adalah Singapura dan Indonesia di Asean, tetapi luar Asean paling tinggi adalah negara China dan potensi pelancongan dari China amat besar.

Sebelum ini Tiong berkata, MOTAC berharap dapat menambah beberapa juta orang pelancong asing.

Data Jabatan Imigresen dari 1 Jan hingga 15 Nov lepas mencatatkan 26 juta kemasukan warga asing ke Malaysia, dengan 1.47 juta pelancong adalah dari China.
Next Post Previous Post