Harapan keluarga parah terbakar, ibu tunggal syukuri bantuan

KUCHING— Luluh hati seorang ibu tunggal apabila anaknya yang menjadi tempat bergantung kini masih bertarung nyawa akibat melecur teruk.

Mohd Syafiq Ali Hanafiah, 36, seorang anggota sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak melecur hampir 75 peratus ketika cuba menyelamatkan seorang wanita warga emas dalam satu kebakaran. 

Selepas itu beliau dikatakan cuba untuk menyelamatkan seorang kanak-kanak berusia enam tahun, bagaimanapun gagal selepas beliau terkena renjatan elektrik dan melecur 75% anggota badan.

Peristiwa menyayat hati itu memyaksikan kanak-kanak 6 tahun rentung dalam kebakaran melibatkan lima buah rumah di Lorong 16, RPR Batu Kawa pada 28 Ogos lalu.

Ketika ini, Mohd Syafiq masih terlantar dan perlu mendapatkan rawatan setiap dua hari di Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk membersihkan anggota badan yang melecur.

Simpati dengan nasib yang dialami keluarga malang itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Datuk Lo Khere Chiang turun padang membantu.

Lo berkata, dengan pendapatan sebagai tukang masak di sebuah pusat pemulihan, ibu mangsa kini buntu untuk membiayai kos rawatan anaknya, memandangkan pendapatannya yang tidak seberapa.

Selain itu katanya, wanita tersebut turut menjaga anaknya yang juga seorang ibu tunggal, seorang cucu dan seorang lagi anak lelaki yang sakit.

“Kecederaan melecur yang dialami sangat teruk dan boleh membawa maut jika berlaku jangkitan kuman akibat tidak mendapat rawatan sewajarnya.

“Justeru, saya telah melantik seorang doktor Dr Sim Chap Hoong untuk memberikan rawatan di rumah mangsa.  

“Dengan adanya bantuan itu, keluarga Syafiq tidak perlu mengeluarkan belanja besar untuk mendapatkan rawatan di HUS,” katanya kepada Borneo Network selepas melawat mangsa tinggal bersama ibunya di Stutong Height Apartment Fasa 2, semalam.

Wartawan yg mengikut Lo tersentuh dan berasa sangat sedih apabila melihat beliau menangis kesakitan sewaktu dirawat.

Media sebelum ini melaporkan, Mohd Syafiq merupakan Anggota Sukarelawan Pertahanan Awam (ASPA) Sarikei namun bercuti di Kuching dan tinggal bersama ibunya.

Semasa kejadian, beliau sedang bekerja mengecat di sebuah rumah dan mendapati rumah berdekatan mengalami kebakaran.

Beliau mencuba untuk menyelamatkan beberapa orang mangsa, termasuk warga emas dan kanak-kanak berusia enam tahun namun terkena renjatan elektrik dan beliau sendiri mengalami kecederaan yang teruk.
Next Post Previous Post