Fadillah pengerusi jawatankuasa khas tangani kos sara hidup tinggi di Malaysia Timur

Armizan pada majlis penyerahan kenderaan APM Negeri Sarawak semalam.

KUCHING— Satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof akan ditubuhkan bagi menangani kos sara hidup tinggi di Sarawak, Sabah dan Labuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jawatankuasa khas itu kelak akan meneliti secara keseluruhan program kerjasama kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri dalam menstabilkan harga barang di ketiga-tiga wilayah itu.

“Sebagai contoh, harga ayam di wilayah ini lebih tinggi berbanding di Semenanjung susulan langkah kerajaan menghentikan subsidi yang sebelum dilaksanakan selama 20 bulan membabitkan kos lebih RM3 bilion.

“Kita lihat harga dan bekalan telah stabil, tetapi apabila kita lihat, harga di tiga wilayah ini lebih tinggi berbanding di Semenanjung. Kita mesti meneliti isu yang timbul,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan kenderaan Angkatan Pertahanan Awam Sarawak 2023 di sini pada Jumaat.

Armizan berkata, isu logistik tidak sepatutnya dijadikan alasan yang mengakibatkan keperluan harian serta barangan basah seperti ayam di Sabah, Sarawak dan Labuan dijual dengan harga tinggi berbanding di Semenanjung, memandangkan negeri di Borneo mempunyai ladang ternakan ayam sendiri.

Pada Jumaat, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berucap pada Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2023 di Penampang, Sabah meminta Fadillah yang juga Pengerusi Majlis Pelaksanaan Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 mengkaji isu harga barang yang tinggi di wilayah Borneo.

Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim komited untuk menangani isu ini dan usaha mengatasinya bakal dilaksanakan dalam masa terdekat termasuk pemberian subsidi untuk beras dan ayam.
Next Post Previous Post