Diseret 160 meter, lelaki dijumpai mati di Jalan Dogan

KUCHING-- Diseret 160 meter, seorang lelaki ditemukan mati dalam keadaan tragis dipercayai dilanggar lari di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Dogan di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa dianggarkan tinggi 165cm, berusia lewat 50-an, tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dijumpai sekirar jam 5.32 pagi.

Katanya, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan menerima panggilan telefon menyatakan seorang lelaki telah terbaring di hadapan kedai terbabit dalam keadaan berlumuran darah. 

"Kesan darah bermula daripada jalan raya utama Batu Kawa / MJC masuk ke arah kedai dan berakhir di hadapan kedai makan di Jalan Dogan Batu Kawa di mana jarak kesan darah pertama dengan mayat lebih kurang 160 meter," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Abang Zainal, terdapat kesan luka di kepala dahi kanan terbuka (kesan tidak sharp), lengan kiri dan kaki kiri ada kesan seretan serta luka di kaki kanan.

Tambahnya, sebaik menerima maklumat berkenaan kes ini, Team CID Padawan diketuai KBSJD dan BP Kota Sentosa (OCS) digerakkan. 

"Team D9 diketuai PT D9 dan D10 Forensik IPK diketuai PT D10 juga hadir di lokasi. 

"Siasatan di lokasi kejadian mendapati tempat mayat dijumpai di hadapan kedai makan berdekatan dengan klinik swasta

"Pemeriksaan lanjut telah dilakukan dan terdapat kesan darah sehingga ke tempat mayat ditemui," tegasnya.

Susulan itu, beliau memberitahu pemeriksaan lanjut dibuat dengan teliti dan membawa kepada kesan darah pertama bermula dari jalan raya besar ke arah MJC dari Sunny Hills. 

Menurutnya lagi terdapat juga kesan objek pecah berwarna biru dipercayai adalah komponen kenderaan yang telah pecah dan disyaki ia adalah kesan pelanggaran berkenaan satu kemalangan antara sebuah kenderaan yang dipercayai melanggar mangsa.

Tambahnya, berdekatan dengan kesan pertama tersebut adalah satu laluan kecil menyeberangi jalan raya ke arah Stapok.

"Disyaki semasa kejadian mangsa sedang berjoging pada ketika itu

"Daripada bukti yang diperolehi dan berdasarkan kepada kesan kecederaan mangsa, pihak Trafik Padawan telah dipanggil ke lokasi untuk membantu siasatan selanjutnya," ujarnya.

Mengulas lanjut, Abang Zainal berkata hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar tempat kejadian tidak menunjukkan kelibat mencurigakan seperti pergaduhan.

"Setakat ini belum ada butiran mangsa dan tiada waris tampil membantu siasatan.

"Oleh itu, pihak polis meminta orang ramai yang ada kehilangan ahli keluarga datang ke Balai Polis Sentosa untuk pengesahan," tegasnya.
Next Post Previous Post