Seekor lagi buaya ditembak mati di Lahad Datu

LAHAD DATU—Seekor lagi buaya besar ditangkap sebelum ditembak pihak berkuasa di Kampung Remang, di sini, malam tadi.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu, Silvester Saimin berkata, reptilia sepanjang 4.8 meter dan lebar satu meter itu ditemukan di belakang rumah penduduk kampung berkenaan.

"Lapan das tembakan dilepaskan pada jam 10.37 malam. 

Semua tembakan mengenai buaya berkenaan. Bangkai buaya itu kemudian dibawa ke perumahan JHL Lahad Datu untuk dilupuskan," katanya ketika dihubungi, hari ini, lapor Harian Metro.

Buaya tembaga yang berjaya ditangkap sebelum ditembak mati di Kampung Remang, Lahad Datu malam tadi.
Gambar ihan JHL

Terdahulu, sepasukan kakitangan JHL Lahad Datu bergegas ke lokasi berkenaan selepas menerima aduan penduduk berhubung penampakan reptilia itu.

Buaya itu hampir sama dengan saiz buaya yang turut ditembak mati di Kampung Desa Bajau, Isnin lalu.

Isnin lalu, seekor buaya seberat lebih 1.2 tan ditangkap sebelum ditembak pihak berkuasa di Kampung Desa Bajau. Tujuh das tembakan dilepaskan termasuk di kepala menyebabkan reptilia sepanjang hampir lima meter itu mati.
Next Post Previous Post