Difitnah jual gas RM46, peniaga mulia maafkan remaja

MIRI— Angkara fitnah di Facebook menjual gas silinder Petros LPG bersubsidi 14 kilogram (kg) dengan harga RM46, pemilik sebuah kedai di Senadin terpaksa membuat laporan polis.

Tindakan pelanggan menyebarkan maklumat tidak tepat itu telah menimbulkan keresahan kepada orang ramai dan fitnah kepada pekedai, di tengah-tengah kemarahan rakyat marhaen kesukaran menukar tong gas LPG kuning.

Kerajaan sebelum ini menetapkan harga silinder Petros LPG bersubsidi untuk kegunaan isi rumah dikekalkan pada RM26.60 untuk kutipan sendiri.

Menerusi satu hantaran di Facebook, pelanggan tersebut mendakwa dia membeli tong gas Petros 14kg dengan harga RM46.

“Salam semua warga Miri Sarawak. Nak Tanya sikit saja.Biasa kita beli tong gas jenama petros 14 Kg berapa harganya.

“Pada 13- 12-23 ,saya membeli dgn harga RM46.00 ,di Egg Shop di Senadin dan dia tak bagi resit lagi,” katanya lagi dalam hantaran itu.

Namun apabila diselidiki, rupa-rupanya harga tong gas RM46 itu rekaan semata-mata anak pelanggan tersebut. 

“Punca masalah adalah daripada anak dia. Terima kasih kepada pelanggan yang mempercayai kami.

“Harap semua dipermudahkan, tong gas kami harga RM28, tiada caj tukar tong kuning ke merah,” kata Egg Shop dalam hantaran di Facebook petang tadi.

“Macam budak zaman dulu, mak bagi RM10 ringgit beli kicap, duit baki beli gula. Bila mak tanya baki mana ??? Beli guli dah,” tambahnya sambil berharap anak individu tersebut tidak mengulangi perkara itu.

Membaca ruangan komen, Borneo Network difahamkan pemilik kedai telah membuat laporan di Balai Polis Lutong demi menjaga keselamatan dan menafikan fitnah tersebut.

Egg Shop dalam laporan polis itu menegaskan, mereka mempunyai bukti resit belian tong gas berharga RM28, bukan RM46 seperti yang disebarkan.
Next Post Previous Post