Soon Koh puji Abang Jo tinggi melangit

KUCHING-- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan Dato Sri Wong Soon Koh memuji kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang disifatnya pemimpin yang berani membawa perubahan besar kepada negeri ini.

Beliau yang pernah berkhidmat bersama kerajaan negeri di bawah tiga Premier (sebelum ini dipanggil Ketua Menteri) berkata, Abang Johari seorang pemimpin yang benar-benar jika bercakap akan melaksanakannya.

"Selepas Abang Johari mengambil alih tampuk kepimpinan negeri selepas pemergian Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem yang meninggal dunia pada 11 Januari 2017, beliau banyak membawa perubahan kepada Sarawak baik dari segi pembangunan mahupun pentadbiran serta ekonomi.

"Abang Johari juga meneruskan perjuangan Allahyarham Tok Nan dalam memperjuangkan hak milik Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Perjuangan ini membuahkan hasil apabila Abang Johari memperkenalkan Cukai Jualan Negeri (SST) bagi minyak dan gas sekaligus menyumbang kepada pendapatan negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Selain itu, kata Soon Koh, Agenda Digital yang diketengahkan Premier Sarawak juga mengubah landskap ekonomi negeri ini ke arah pendigitalan.

Ini katanya dikukuhkan lagi dengan penubuhan Lembagai Multimedia Sarawak (SMA) dalam usaha Sarawak menjaga keselamatan siber negeri ini selain pembangunan bakat dalam bidang digital.

Malah, beliau memberitahu, di bawah pimpinan Abang Johari juga berjaya mentransformasikan sistem pengangkutan awam yang berteraskan kuasa hidrogen yang lebih mesra alam.

Pada masa sama katanya, Abang Johari juga memperkenalkan industri hidrogen yang mana ia telah membuka lembaran baharu kepada Sarawak terutamanya dalam bidang perindustrian.

Sehubungan itu, Soon Koh menyatakan bahawa beliau akan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Abang Johari. 

"Dengan ini saya sekali lagi menyokong RUU Perbekalan 2024 yang telah dibentangkan Premier Sarawak," ujarnya.
Next Post Previous Post